“Saya ni pelakon komedi dan kurus kering tak sesuai jadi Badang” – Kisah Badang Yang Sebenar-Benarnya

Loading...

THE REAL BADANG

Filem BADANG (1962) diarahkan oleh S. Roomai Noor di studio Cathay-Keris Film. Ia merupakan sebuah kisah dongeng purbawara yang dekat dengan masyarakat Melayu. Semasa beliau membuat uji lakon ataupun screen test untuk watak “Badang”, ramai individu hadir untuk mencuba nasib. Setelah uji lakon dibuat kepada hampir 30 orang, S. Roomai Noor masih belum berpuas hati kerana tidak ada orang yang betul-betul memenuhi kehendaknya pemilihannya.

Secara kebetulan Wahid Satay turut berada di tempat screen test dijalankan pada ketika itu. S. Roomai Noor terpandang kelibat beliau lalu memanggilnya, “Wahid, mari sini.” Wahid Satay pun pergi menghampiri S. Roomai Noor. “Engkau jadi Badanglah” kata S. Roomai Noor. “Eh tak bolehlah bang, saya ni pelakon komedi nak jadi Badang memang tidak kenalah, lagipun saya kurus kering tak sesuai” balas Wahid Satay.

Lalu S. Roomai Noor menjawab, “Ini bukan soal komedi tapi sebab kau kuruslah aku nak kau jadi Badang!”. Wahid Satay kemudiannya berseloroh, “Abang pernah tengok Badang ke? Bagaimana abang tahu dia kurus?” S. Roomai Noor membalas, “Aku pun tak pernah tengok Badang, tapi kau kenalah dengan Badang versi yang aku nak”. S. Roomai Noor mengakhiri perbualan itu dengan menawarkan watak utama filem terbaharunya itu kepada Wahid Satay.

Wahid Satay telah bersetuju mengambil peranan sebagai “Badang” di bawah arahan S. Roomai Noor. Menurut Wahid Satay, beliau sangat takut ketika melakonkan watak “Badang” kerana dia perlu berlakon melawan seekor gajah. “Saya mengucap entah berapa ratus kali ketika berhadapan dengan gajah itu!” tambah beliau lagi ketika mengenang lakonannya dalam babak itu. Anak gajah tersebut telah dipinjamkan dari sebuah sarkis di Singapura.

Ketika hendak menjinakkan gajah itu, jurulatih sarkas itu memukulnya beberapa kali. Wahid Satay yang melihat perbuatan itu jatuh pengsan akibat ketakutan, malah heroinnya Roseyatimah menangis sekuat hati kerana kasihankan anak gajah itu.

Filem BADANG turut dibintangi oleh Zainal Gemok, Umi Kalthoum, Shariff Medan, Yem, Dollah Serawak, Siti Tanjong Perak, Udo Omar, Abdullah Sani, Ismail Boss dan beberapa lagi orang pelakon dari studio Cathay-Keris. Filem ini mula ditayangkan pada 30 Ogos 1962. Untuk mempromosikan filem ini, Wahid Satay telah digelar sebagai “Hercules Malaysia” oleh pihak studio.

Tonton Filem Badang di bawah.

Sumber: Facebook The Patriots

(Visited 446 times, 1 visits today)
Loading...